PUTRAJAYA: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan meneliti cadangan untuk menubuhkan Bank Perumahan bagi memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri.
Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata pihaknya juga akan mengkaji cadangan supaya syarikat pinjaman wang berlesen yang berdaftar di bawah kementerian memberikan pinjaman kepada golongan itu membeli rumah kos rendah dan sederhana rendah.
Katanya, golongan berkenaan sering berhadapan kekangan dalam mendapatkan pinjaman perumahan daripada bank komersial berikutan syarat ketat yang dikenakan Bank Negara Malaysia.